Thursday, 20 October 2011

JADILAH PENIAGA YANG JUJUR


JADILAH PENIAGA YANG JUJUR

Bulan Ramadan sememang sinonim dengan kegiatan perniagaan dan ini dapat dilihat di seluruh negara, masyarakat Islam pada pelbagai peringkat umur begitu ghairah menjalankan aktiviti tersebut. Bazaar Ramadan sudah melekat di hati seluruh umat Islam kerana di sinilah medan urusniaga dan berjual beli dilangsungkan untuk memenuhi keperluan masyarakat pengguna.

Senario itu suatu fenomena yang baik dan seharusnya diperkasakan kerana ia akan menjadi wadah memantapkan semangat berkecimpung dalam perniagaan di kalangan umat Islam. Menjadi seorang usahawan apatah lagi perniagaan yang bertujuan untuk memperlengkap keperluan untuk berbuka dan bersahur adalah amalan yang sangat berpahala di sisi Allah. Seseorang peniaga itu bukan sahaja mendapat keuntungan di bulan penuh berkat ini, tetapi juga ganjaran pahala yang besar.

Pun demikian, perlulah diingatkan bahawa urusan perniagaan tersebut seharusnya atas landasan yang jujur dan penuh bertanggungjawab. Sabda Nabi saw, “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, solidin, orang-orang yang mati syahid pada hari kiamat kelak.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah). Inilah gambaran yang diberikan oleh Rasulullah saw terhadap seseorang peniaga yang jujur dalam amalan niaganya.

Usahawan atau peniaga adalah profesion mulia di sisi Allah dan seharusnya kita umat Islam merebut segela ruang dan peluang yang tersedia untuk menjadikan kita sebagai seorang usahawan yang dikasihi Allah atas dasar dan prinsip kejujuran dan beramanah dalam segenap aspek niaga yang dilaksanakan. Jangan sekali-kali melakukan penyelewengan dan menipu pembeli atau pelanggan kerana perbuatan seperti ini akan meleburkan pahala sebagaimana yang dijanjikan Allah itu.

Ambillah pedoman dari perniagaan yang pernah diusahakan oleg beberpa orang sahabat Nabi saw sebagai garis panduan. Ketika umat Islam baru mula bertapak di bumi Madinah al-Munawarah, telah muncul beberapa usahawan Mukmin yang begitu gigih menjalankan perniagaan. Mereka nyata begitu berjaya dan kalau pada zaman moden ini mereka setaraf dengan gelaran Bilionair. Namun perwatakan mukmin sejati yang begitu mantap iman dan kental ketakwaan tidak pernah mendorong mereka untuk kelabu mata dan bersikap tamak terhadap harta dunia.

Nama-nama besar Taikun Islam masa itu seperti Uthman al-Affan, Zubair al-Awwam dan Abdul Rahman bin Auf sudah cukup buat kita teladaninya. Perkara pertama mesti ditekankan oleh para peniaga ialah membiasakan diri untuk bercakap benar dalam urusan niaganya. Bersikap bercakap benar menjadi petanda aras kepada kejujuran dan keikhlasan mereka dalam perniagaan. Melalui nilai bercakap benar itu akan menzahirkan perniagaan yang bersih, jujur dan amanah. Muaz bin Jabal pernah mengatakan, “Sesungguhnya sebaik-baik usaha mencari pendapatan adalah berniaga, iaitu mereka yang sentiasa bercakap benar dan tidak berbohong.”

Usahawan Islam tidak boleh sekali-kali menjalankan perniagaannnya dengan berselindung untuk menutupi segala keaiban sesuatu produk. Ini kerana perbuatan sedemikian akan menzalimi pembeli dan sudah tentu akan timbul kerugian dan rasa tidak puas hati. Sebab itulah Rasulullah saw pernah berpesan, “Tidak dibenarkan seorang muslim menjual satu jualan yang mempunyai aib kecuali ia memperjelaskan aibnya.” (Hadis riwayat Imam al-Quzwani)

Perbuatan menyembunyikan sesuatu keaiban pada produk termasuk dalam kategori melakukan penipuan terhadap pembeli. Sabda Nabi saw lagi, “Sesiapa melakukan penipuan dalam perniagaan bukanlah ia termasuk dalam golongan umatku.” (Hadis riwayat Bukhari) Ini sati amaran kepada seluruh peniaga mukmin agar berhati-hati semasa mengusahakan sesuatu urusan perniagaan.

Kita selalu mendengar cerita atau ada di kalangan kita pernah mengalami peristiwa terbeli makanan, lauk-pauk atau kuih muih semasa di bulan Ramadan ini yang ‘dikitar semula’. Tentu ada kan! Ini satu contoh bagaimana buruknya etika niaga dan tidak sewajarnya usahawan mukmin boleh tergamak berbuat demikian. Di manakah berkatnya dengan perniagaan sebegitu?

Ingatlah akan peringatan Rasulullah saw ini, “Adakah mahu aku beritahu mengenai tiga dosa besar? Tiga dosa besar itu adalah syirik kepada Allah, menderhakai kepada kedua-dua ibu bapa,” kemudiannya Baginda saw pun duduk dan berkata lagi,’ “Bercakap bohong.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Peniaga yang suka berbohong merupakan mukmin yang terang-terang melanggar etika niaga yang ditetap agama.

Seperkara lagi yang perlu diberikan penekanan ialah sikap toleransi dalam perniagaan. Ini bermakna seseorang peniaga perlulah mengamalkan sikap memudahkan pembeli dan jangan membebankan mereka dengan kadar harga yang melampau. Pesan Rasulullah saw, “Allah merahmati seseorang yang ramah dan toleransi dalam urusniaganya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Misalnya seseorang peniaga itu mestilah mempunyai sikap mesra pembeli dan berlapang dada dalam proses tawar-menawar yang disarankan oleh para pembeli.

Hal tersebut juga termasuklah dalam aspek mengambil keuntungan yang sederhana sahaja agar pembeli tidak terbeban. Ini juga sikap terpuji dan dirahmati Allah. Usahawan cekik darah merupakan golongan peniaga yang zalim dan sudah tentu tidak termasuk dalam golongan orang yang mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

Islam menobatkan kerjaya keusahawanan dan usahawan itu setaraf dengan kedudukan para Nabi, orang mati syahid dan orang-orang yang benar, namun seharusnya mengusahakannya dalam kerangka yang dietikakan oleh agama. Nabi saw pernah melalui kewasan sekelompok orang Islam yang sedang berjual beli di pasar Madinah, kemudiannya Baginda saw berkata kepada mereka, “Wahai para usahawan.” Orang ramai di situ menunggu apa yang akan Nabi saw katakan. Kemudiannya Baginda pun menyambung Sabdanya, “Sesungguhnya para usahawan dibangkitkan sebagai pelaku kejahatan yang berdosa kecuali mereka yang takutkan Allah, yang benar dan jujur.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Jadi, pergunakanlah bulan Ramadan al-Mubarak ini untuk memperkasakan urussniaga yang hebat lagi berkat dengan memantap pengamalan etika niaga yang jujur dan beramanah. InsayaAllah, segala keuntungan yang diperoleh akan diberkati Allah dan mendapat ganjaran besar di sisi-Nya di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment